Pendirian tiga ADUN UMNO yang menyatakan kesedian mereka untuk berundur jika tidak terpilih sebagai calon boleh menang oleh pucuk pimpinan semasa pilihan raya umum ke-13 nanti haruslah dicontohi wakil rakyat lain.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata mereka juga telah menunjukkan teladan baik apabila berjanji untuk terus memberi sokongan sekiranya mereka dikehendaki untuk berundur.
“ Ini merupakan contoh yang baik dan kita harap ia akan menjadi teladan kepada wakil rakyat yang lain.. Soal samada mereka terpilih atau tidak sudah menjadi nombor dua bagi saya.
“ Tetapi, yang penting mereka bertiga telah bersedia untuk berundur jika tidak dipilih sebagai calon boleh menang (winnable)…dan sekiranya ada calon baru, mereka berikrar akan memberi sokongan kepada calon terbabit.
“ Selain itu, mereka turut mengharapkan agar calon yang menggantikan mereka itu bukannya calon yang pernah mensabotaj parti dan ini merupakan satu pandangan yang baik,” katanya.
Menteri Besar diminta mengulas penjelasan ADUN Pengkalan Baharu, Datuk Hamdi Abu Bakar, ADUN Lintang; Datuk Ahamad Pakeh Adam dan ADUN Belanja, Datuk Mohd Zaim Abu Hassan bahawa mereka bersedia berundur jika diminta berbuat demikian dan berikrar untuk beri sokongan kepada parti.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat projek perumahan yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Perumahan Negara Berhad (SPNB) di Kampung Teluk Senangin, semalam.
Sementara itu, seramai tujuh buah rumah kos rendah di bawah SPNB disiapkan bagi golongan miskin dan miskin tegar di perkampungan nelayan itu sebagai salah satu inisiatif kerajaan membantu golongan ini mendapat kehidupan yang lebih sempurna.
Salah seorang penerima, Ku Abdul Rasib Ku Hambali menyifatkan kesungguhan Kerajaan Negeri membantu rakyat miskin mendapat kemudahan rumah secara tidak langsung dapat menarik minat dan sokongan golongan ini terhadap kerajaan.
“Kami semestinya bersyukur dengan pemberian sebegini..Ini menunjukkan keseriusan kerajaan BN membantu golongan miskin seperti kami menikamati kehidupan yang lebih sempurna.
“ Yang penting, hajat kami ditunaikan kerajaan dan bukan hanya berjanji atau bercakap kosong..ini secara tidak langsung mampu menarik lebih ramai orang sokong kerajaan yang ada ini,” katanya.
Terdahulu, Dr Zambry turut melawat perkembangan kawasan perindustrian Kampung Acheh dan kilang pemprosesan makanan Halal Hub, di Pengkalan Lumut.
Katanya, beliau mendapati kawasan tersebut memerlukan beberapa penambahbaikan supaya Industri Kecil Sederhana (IKS) yang sudah bertapak sejak sekian lama di situ dapat berkembang dan mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan.
“ Keadaan bangunan memerlukan penambahbaikan dan pengubahsuaian kerana sudah tidak sesuai dengan keperluan industry selain kedudukan bangunan yang tidak strategik.
“ Kawasan ini juga diharapkan dapat menjadi kawasan yang memperkenalkan industri hijau dan dijangkakan satu perjanjian persefahaman akan dibuat 15 Dis ini, “ katanya.

No comments:
Post a Comment